Tuesday 28 June 2011

Persekolahan

Saya memulakan zaman persekolahan saya di tadika kemas di flat tersebut. Namun, saya sering lari ke rumah kerana tidak ingin berpisah dengan ahli keluarga saya. Oleh kerana kenakalan saya yang berterusan itu, saya dihantar ke tadika yang terletak lebih kurang 2km dari rumah saya. Pada mulanya, saya sering kali menangis dan tidak bergaul dengan sesiapa. Lama-kelamaan, saya mula bergaul dan mendapat kawan yang ramai. Cikgu di situ juga mula menyukai saya kerana kepantasan saya belajar dan memahami pelajaran. Saya sering mendapat hadiah daripada cikgu tersebut yang bernama Puan Parameswari.
            Kemudian saya meneruskan pelajaran di SK Sungai Nyior. Seperti di tadika, saya turut menjadi tetamu setia di Majlis Anugerah Cemerlang hamper setiap tahun. Di situ juga saya mempunyai cikgu kesayangan saya iaitu Puan Fairos binti Othman yang merupakan guru Bahasa Malaysia saya selama 3 tahun. Hobi utama saya, iaitu melancong bermula ketika di bangku sekolah rendah apabila saya sering mengikuti lawatan sekolah. Antara tempat-tempat yang kami lawati ialah Gua Kelam, Padang Besar, Merbok, Muzium Kedah, Muziam Padi dan banyak lagi. Saya juga merupakan ulat buku dan oleh sebab itulah saya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Gelora hidup saya bermula apabila saya menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Walaupun saya ditawarkan Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh, saya meneruskan pelajaran di SMK Convent Butterworth yang tidak tersenarai dalam kategori di atas. Pelbagai cabaran dan dugaan yang saya temui sepanjang 5 tahun di sekolah itu. Saya merupakan seorang Pengawas sekolah yang agak tegas dan juga merupakan seorang pelajar pintar. Semua guru di sekolah mengenali saya dan ini merupakan satu tradisi yang berterusan di ketiga-tiga sekolah saya. Guru kesayangan saya semasa di SMK Convent ialah Pengetua sekolah itu, iaitu Puan Chew Saw Hwa. Saya sekali lagi mendapat keputusan cemerlang apabila berjaya mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Itu merupakan saat paling gembira dalam hidup saya di mana saya menangis dalam kegembiraan buat kali pertama. Sebagai langkah seterusnya, saya meneruskan pelajaran ke tingkatan empat dalam aliran sains. Sekali lagi, tawaran MRSM ditolak. Di tingkatan empat inilah jatuhnya prestasi pelajaran saya di mana ulat buku menjadi ‘ulat siber’. Saya lebih banyak menghabiskan masa di depan komputer dan di telefon bimbit. Sebagai akibatnya, saya hanya mendapat 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Guru-guru ketika di Tingkatan 6

Oleh kerana tidak ditawarkan mana-mana Universiti dan Matrikulasi, saya terpaksa meneruskan pengajian di Tingkatan Enam di SMK Dato’ Onn Butterworth. Seperti yang diketahui, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) memang susah. Akibat terlalu asyik dengan benda-benda seperti Facebook, telefon bimbit dan lain-lain, sekali lagi saya mendapat keputusan yang kurang memuaskan. Kini dengan azam yang baru dan kuat, saya sedang meneruskan pengajian di Unisel. Saya berharap saya tidak lagi tergoda dengan ganggua-gangguan moden seperti sebelum ini dan harap dapat menjadi Pelajar Pintar seperti dahulu.
Demikianlah berakhirnya sesi persekolahan saya yang bermula di Tadika Our Lady, SK Sungai Nyior, SMK Convent Butterworth, dan SMK Dato’ Onn. Banyak yang dipelajari. Yang baik harus dijadikan contoh, dan yang buruk jangan diulangi. Itulah pedoman yang dapat dipelajari sepanjang zaman persekolahan.